Apa beza 2D, 3D, 4D, 5D & 6D Ultrasound Scan

Pernah tak anda bertanya kepada diri sendiri, anda faham ke maksud setiap satu “D” ultrasound scan ni? Adakah lebih banyak “D itu bermakna lebih advanced?

Diterbitkan pada: October 18, 2017

Beza 2D 3D 4D HD ultrasound scan

2D,3D, 4D, 5D, 6D, HD … Berapa banyak D da?

Pernahkah anda berada dalam situasi perbualan pelik di kaunter klinik seperti di bawah :

SITUASI 1
Patient : Saya nak buat 4D scan jer, 3D tak nak.
Nurse : 4D scan mesti dibuat bersama 3D, Puan.

SITUASI 2
Patient : Saya nak buat detail scan yang 3D
Nurse : Detail scan mesti dibuat dengan 2D, Puan.

SITUASI 3
Patient : Saya nak buat 3D4D nak tengok jantina, sebab haritu dah buat 2D tak nampak pun jantina.
Nurse : Bukan salah “D” kalau tak nampak jantina, Puan.

Jangan risau, biasanya nurse di kaunter sudah diberi kefahaman tentang spesis dan jenis-jenis “D” ini dan setiap kali akan memberi maklumat setepat dan seringkas mungkin.

Pernah tak anda bertanya kepada diri sendiri, anda faham ke maksud setiap satu “D” ultrasound scan ni? Pada tahun 1986, imej 3D pertama baby telah berjaya dirakam oleh Kazunori Baba dari Universiti Tokyo. Di Malaysia, 3D ultrasound mungkin belum didengar sehingga pertengahan 90-an. Mesin ultrasound pun belum tentu ada di setiap klinik. Beberapa tahun selepas itu, teknologi 3D berjaya dikembang menjadi 4D. Sehingga hari ini, kita telah mendengar 5D, 6D (dan akan datang mungkin 7D?).

  • Secara tak langsung saya percaya anda tertanya-tanya sampai berapa “D” sebenarnya ada?
  • Adakah lebih banyak “D itu bermakna lebih advanced?
  • Adakah imej baby lebih jelas jika anda request jumlah “D” paling banyak?

2D Ultrasound Scan

2D Detailed Scan - Brain
Gambar 2D Scan Bayi – Struktur Otak (2D Detailed Scan – Fetal Brain)
© Marni Ahmad | sonographr.com

2D ultrasound, juga dikenali B-mode ultrasound, juga dikenali imej hitam-putih ultrasound. Prinsip asasnya ialah interpretasi digital tahap “kecerahan” bintik putih-hitam terhadap data jarak dan kekuatan gelombang bunyi. Imej yang terpapar di skrin adalah “hirisan” organ/struktur yang diimbas. Pentafsiran “hirisan” imej ini biasanya hanya difahami doktor atau sonographer kerana memerlukan pemahaman anatomi dan latihan intepretasi terperinci. Apa yang lebih penting, sehingga hari ini detailed scan mesti dilakukan dengan 2D untuk melihat organ dalaman baby.

3D Ultrasound Scan

3D Scan - Baby Face
Gambar 3D Scan Muka Bayi
© Marni Ahmad | sonographr.com

“Hirisan-hirisan” imej yang tadinya dipapar secara berasingan kini digabung secara elektronik membentuk organ/struktur yang lengkap.. Apabila imej 3D ini diberi ciri warna kekuningan untuk menyerupai warna kulit sebenar…… tadaaaa…. maka terhasil lah bentuk muka bayi.

Penggabungan data ini memerlukan tempoh masa yang lebih lama berbanding 2D. Sepanjang tempoh itu, objek yang discan perlu statik – tidak boleh bergerak. Secara amnya, tempoh masa yang diambil ini lebih kurang 3 – 7 saat, bergantung kepada kecekapan mesin ultrasound. Lebih cekap mesin ultrasound, lebih pendek tempoh masa yang diperlukan. Jadi, jurutera-jurutera ultrasound bersaing untuk menghasilkan mesin yang lebih cekap supaya imej lebih cantik. Bukan mudah ya, nak dapat bayi diam tak bergerak untuk tempoh 7 saat. Kalau nak dapat imej bayi tersenyum, bayi perlu senyum untuk tempoh 3 saat, kalau tak, nampak macam mulut baby senget pula.

2D vs 3D Ultrasound Scan

2D vs 3D Ultrasound Scan

Umpama sebuku roti yang dipotong keping, imej 2D ialah paparan imej sekeping roti. Manakala imej 3D adalah gabungan beribu-ribu kepingan roti yang dipaparkan serentak. Biasanya scan 3D hanya boleh memberi imej luaran seperti muka, bentuk badan, anggota tangan, kaki dan kadangkala jantina bayi (boleh baca lebih lanjut dalam artikel tentang gender scan) bergantung kepada kedudukan bayi ketika itu.

4D Ultrasound

Apabila jurutera-jurutera tadi telah berjaya menghasilkan tempoh pengumpulan data yang sangat-sangat pantas maka objek tak perlu lagi statik. Setiap imej yang terhasil hanya mengambil masa mili saat. Maka, jika dalam tempoh pengumpulan data itu bayi membuat ekspresi muka, dapatlah ianya dirakam secara langsung. Moment apabila bayi senyum, menguap, mencebik bibir, menggaru muka dan sebagainya dapat direkod dalam bentuk video secara langsung. Video inilah yang dikenali 4D iaitu “3D ultrasound in motion”.

5D Ultrasound

5D Ultrasound by Samsung
© Samsung Medison | samsungmedison.com

Ok, tidak dinafikan di sinilah kontroversi bermula dan terlalu banyak disalah tafsir secara umum.

Konsep 5D diperkenalkan oleh Samsung dalam arena ultrasound. Terdapat beberapa subkategori 5D dalam Samsung iaitu 5D Central Nervous System, 5D Heart, 5D Nuchal Translucency dan 5D Long Bones. Kategori ini dikenalpasti sebagai rutin pemeriksaan yang rumit dan memakan masa. Oleh itu, tujuan Samsung membangunkan teknologi 5D ialah untuk menjadikan rutin tersebut separa-automatik. Salah satu contoh ialah rutin pemeriksaan jantung baby. Dalam 5D Heart, data 3D diguna untuk menjana 9 imej secara serentak. Dari 9 imej ini, abnormalities lebih mudah dan cepat dikesan berbanding cara konvesional di mana sonographer perlu mendapatkan 9 imej tersebut secara manual. Teknologi ini pertama kali dilancarkan bagi model Samsung WS80A semasa mesyuarat tahunan ke -35 Society for Maternal Fetal Medicine di Amerika Syarikat.

HD, FRV atau i-Live Ultrasound

3D Scan - Baby Face
Gambar i-Live Scan Muka Bayi (Mindray)
© Marni Ahmad | sonographr.com

Diambil dari perkataan “High Definition”, HD Live ultrasound diperkenal oleh syarikat GE. HD ultrasound ialah inovasi terhadap imej 3D 4D dengan menjadikan imej yang terbentuk lebih realistik. Imej asal 3D 4D kini diberi sumber cahaya (lightsource) yang boleh dimanipulasi oleh sonographer untuk mewujudkan kesan bayang atau “shadow”. Cuba lihat perbezaan imej konvesional 3D4D dan HD -3D4D.

3D Scan - Baby Face
3D Scan - Baby Face

Nama lain bagi teknologi ini berbeza mengikut syarikat pengeluar ultrasound:

  • HD Live bagi General Electronic (GE) – contoh model mesin ultrasound GE Voluson S6, GE Voluson S8, GE Voluson S10, GE Voluson E8, GE Voluson E10
  • FRV bagi Samsung – Contoh model mesin ultrasound Accuvix A30
  • i-Live bagi Mindray – Contoh model ultrasound Mindray DC-8 Expert

6D Ultrasound

Secara teknikalnya, 6D ultrasound diterjemah apabila pemeriksaan ultrasound itu menggunakan teknologi FRV 3D4D (oleh Samsung ) dan dilihat melalui “kaca mata 3D” (seperti yang diguna semasa menonton filem 3D di panggung) di mana imej dipapar di monitor television 3D. Gambarajah di bawah lebih mudah difahami:

6D Ultrasound

Saya harap dengan perkongsian ini, anda dapat sedikit sebanyak memahami pelbagai “D” dalam ultrasound ini.

ARTIKEL DALAM KATEGORI LAIN

KOMEN & DISKUSI

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *